Rebat ditamatkan - Utusan Malaysia

Rebat ditamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Jun – Rebat tarif elektrik seba­nyak 1.52 sen/kilowat per jam (kWj) yang telah diberikan kepada semua pengguna di Semenanjung dalam tempoh enam bulan terdahulu akan ditamatkan berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Menurut Suruhanjaya Tenaga, rebat untuk pengguna elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada kadar 1.20 sen/kWj turut ditamatkan berkuat kuasa pada tempoh yang sama.

Katanya, kerajaan juga memutuskan supaya peningkatan kos sebanyak 1.35 sen/kWj dilepaskan dalam bentuk surcaj ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 31 Disember 2018.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2018, didapati bahawa harga bahan api arang batu telah me­ning­kat kepada AS$91.66 (RM370.17) satu tan metrik berbanding harga yang diunjurkan dalam tarif asas iaitu AS$75 (RM302.89) satu tan metrik.

“Kenaikan bagi tempoh enam bulan pertama 2018 ini merupakan faktor utama yang menyebabkan kos penjanaan sebenar me­ningkat sebanyak RM698.19 juta bersamaan 1.35 sen/kWj,’’ kata­nya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Bagaimanapun, kerajaan me­ne­tapkan supaya surcaj ICPT tersebut dikecualikan kepada semua pengguna domestik bagi tempoh yang sama.

“Bagi pengguna domestik de­ngan penggunaan elektrik mele­bihi 300 kWj, mereka akan meng­alami penurunan atau kenaikan yang minimum dalam bil elektrik iaitu dianggarkan di antara sembilan sen hingga RM4.89 sebulan dengan mengambil kira pelaksana­an kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang telah bermula pada 1 Jun 2018,” katanya.

ICPT adalah untuk melepaskan apa-apa kos tak berimbang iaitu perbezaan di antara kos sebenar bahan api serta kos lain penjanaan yang didapati munasabah dan di luar kawalan TNB dengan kos unjuran yang diguna pakai dalam penetapan tarif asas bagi tempoh enam bulan sebelumnya.

Menurutnya, pelarasan ICPT tersebut bagaimanapun tidak melibatkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 300 kWj.

Dalam pada itu, kerajaan bersetuju meneruskan pelaksanaan kerangka kerja kawal selia ber­­a­sas­kan insentif (IBR) bagi pene­tapan dan pelarasan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tempoh kawal selia tiga tahun yang kedua bermula 2018 hingga 2020.

“Di bawah IBR, tarif elektrik mempunyai dua komponen utama iaitu tarif asas yang tidak berubah dalam tempoh kawal selia IBR dan mekanisme ICPT dalam bentuk rebat atau pun surcaj dalam tarif pengguna yang dilaksanakan setiap enam bulan.

Jelas Suruhanjaya Tenaga, pelaksanaan IBR di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang sepatutnya bermula pada 1 Julai 2018 ditangguhkan sehingga 1 Januari 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN