KOTA BHARU 25 Jun – Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah cuma berhasrat memimpin parti itu selama tiga tahun atau satu penggal sebelum melepaskan jawatan tersebut kepada pemimpin lain yang lebih muda.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berazam memulihkan kekuatan parti dan mengembalikan keyakinan rakyat dalam tempoh tersebut.
Tengku Razaleigh memberitahu, selepas tamat tempoh tersebut, beliau akan berundur secara sukarela dan menyerahkan tampuk kepemimpinan kepada individu lebih muda.
“Beri masa tiga tahun kepada ‘ambo’ supaya UMNO boleh pulih, bergerak semula dan merampas balik kuasa. Ini bukan kerja mudah, tidak boleh main-main, namun saya akan cuba.
“Saya tidak boleh kata berjaya atau tidak dalam tempoh tiga tahun itu. Kalau sambutan baik, mungkin lebih awal, kalau tidak mungkin lebih panjang tetapi saya hanya nak tawar diri tiga tahun. Selepas itu, giliran orang muda pula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra Bersama Tengku Razaleigh Hamzah yang disertai kira-kira 1,000 ahli UMNO di sini malam tadi.
Pemilihan UMNO kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Presiden melibatkan Tengku Razaleigh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin.
Tengku Razaleigh dalam pada itu berkata, tugas memimpin UMNO bukan kerja mudah, lebih-lebih lagi parti itu sekarang berada dalam keadaan lemah selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau juga mengakui UMNO tidak boleh bersendirian, sebaliknya perlu bekerjasama dengan parti Melayu lain untuk mencapai matlamat itu.
“Cuma sekarang ini kita tidak boleh cakap dulu macam mana, kena tengok sejauh mana kekuatan parti dulu selepas ini,” katanya.
Terdahulu ketika berucap, Tengku Razaleigh menggesa perwakilan membuat keputusan bijak dengan memilih ‘kumpulan’ kepemimpinan yang segar dan mempunyai imej bersih daripada sebarang masalah salah laku.
“Kita nak pesan, pilihlah pasukan yang molek dan comel, baru kita boleh buat kerja. Kalau pilih ‘berdener’ (berlendir) dan tak molek ibarat langkah pertama dah tak kena.
“Mereka (rakyat) akan buang kita semua sekali dalam satu bakul begitu sahaja,” katanya.











