KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sekolah menengah merupakan antara 15 suspek yang ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman kerana disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Daesh.
Turut ditahan ialah seorang suri rumah berusia 51 tahun yang merancang untuk melancarkan serangan menggunakan kereta yang dipenuhi bahan letupan pada hari pembuangan undi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Kesemua suspek termasuk tiga wanita itu ditahan dalam operasi khas di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan dan Sabah bermula 27 Mac lalu hingga 9 Mei lalu.
Tangkapan tersebut melibatkan enam suspek warganegara Malaysia, dua warga Filipina yang bertaraf penduduk tetap, sepasang suami isteri dari Afrika Utara, empat warga Filipina dan seorang warga Bangladesh. Kesemua yang ditahan berusia antara 17 hingga 51 tahun.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan terhadap pelajar berusia 17 tahun itu dilakukan di Petaling Jaya, Selangor pada 20 April lalu dan suspek dipercayai telah menghasilkan enam molotov cocktail dan satu daripada molotov tersebut telah di kawasan lapang sekitar Damansara Damai, Petaling Jaya.










