KOTA BHARU 24 Jun – Masalah air di negeri ini ibarat tiada kesudahan kerana rakyat terus merintih dahaga menantikan perubahan dan tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Kota Bharu dan Kubang Kerian mendapati masih terdapat segelintir rakyat menghadapi masalah air.
Seorang daripada mereka, Nurul Hani Awang Nila, 31, memberitahu, masalah air di negeri ini seperti tidak pernah menemukan jalan noktah.
“Rumah saya ada masalah air juga. Memang Kelantan isu air tidak pernah selesai dari dulu lagi. Bagaimanapun rumah saya tidak pernahlah sampai air berkarat,” jelasnya.
Bagi pekerja swasta, Mohamad Afifuddin Ibrahim, 28, kepulangan terlalu ramai perantau ke kampung halaman untuk berhari raya menyebabkan masalah penyampaian air menjadi semakin ketara apabila bekalan semakin terhad.
“Mungkin juga masalah air terhad disebabkan paip-paip utama tidak dapat menyalurkan dengan sempurna ke rumah penduduk di sekitar taman perumahan saya,” ujarnya ketika menceritakan masalah air sewaktu sambutan hari raya baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Ammar Nik Abdullah berkata, masalah air terus berlaku akibat kesan migrasi Kerajaan Pusat.
“Kita dimaklumkan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memang berlaku blackout di samping kesan migrasi apabila diambil alih Kerajaan Persekutuan sekarang. Ini bukan alasan, tetapi hakikat serta realiti yang kita hadapi di Selangor, Pahang, Terengganu dan Perak.
“Paip dalam tanah guna paip lama, namun, apabila tekanan kuat, akan mengambil masa lama dan perlu peruntukan lain dan itu menjadi antara sebab isu ini tidak boleh selesai sepenuhnya,” jelas beliau kepada Utusan Malaysia.










