Rakyat Kelantan dukacita jika senarai tular benar - Utusan Malaysia

Rakyat Kelantan dukacita jika senarai tular benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 27 Jun – Ketiadaan wakil dari negeri ini dalam Kabinet penuh Kerajaan Pakatan Harapan yang tular sejak dua hari lalu mendukacitakan seluruh rakyat Kelantan jika senarai itu benar-benar sahih.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN), Kelantan masih mempunyai wakil dalam Kabinet meskipun dikuasai pembangkang. 

Hal ini kerana kata beliau, kehadiran sekurang-kurangnya seorang wakil dari Kelantan bakal memudahkan urusan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat masa sekarang, saya tidak boleh mengandaikan senarai itu benar kerana belum diumumkan dan belum angkat sumpah, tetapi kalau betul senarai itu, maka kita sebagai rakyat Kelantan dukacitalah sebab tiada wakil.

“Wakil dalam Kerajaan Pusat ini sangat penting kerana akan mengukuhkan lagi usaha untuk membela rakyat dan melancarkan urusan pentadbiran Pusat dan negeri,” katanya kepada pemberita dalam pada Majlis Hari Raya Bersama Datuk Pa, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Mustapa berharap senarai yang tular tersebut tidak benar dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju memasukkan sekurang-kurangnya seorang seorang wakil dari negeri ini dalam senarai Kabinet kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam pada itu turut meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memilih menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementerian.

“Jika ini satu kesilapan, kita harap kesilapan sama tidak akan berlaku lagi. Sama ada kerajaan Pusat mahupun pembangkang, status bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan perlu dihormati semua pihak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini