JULAU 18 Jun – Seorang petani ditahan ketika membuat laporan polis kerana menembak mati rakan sekampungnya di kawasan hutan Sungai Engkelut, Pakan di sini semalam.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Julau pada pukul 5.15 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai berkata, lelaki terbabit mendakwa telah tertembak rakannya berusia 26 tahun kerana menyangka mangsa adalah seekor babi hutan semasa berburu bersama pada kira-kira pukul 12 tengah hari.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialaminya.
“Kejadian berlaku semasa dua sahabat itu berpecah dan masing-masing bergerak sendiri untuk memburu binatang sebelum suspek tertembak mangsa.
“Suspek ditahan bersama selaras senapang patah yang digunakan semasa tertembak mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Dennis, kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat, Seksyen 37 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.








