RAMALLAH, Tebing Barat – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata bahawa rakyat Palestin serius untuk mencapai perdamaian dengan Israel berdasarkan persempadanan pada tahun 1967.
Mahmoud membuat kenyataan tersebut semasa menerima kunjungan pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera William yang memakai gelaran Duke of Cambridge di bandar Ramallah, Tebing Barat, lapor agensi berita Xinhua.
“Kami mahu mencapai keamanan menerusi rundingan dan ini menjadi pendirian kami dan ia tidak berubah sejak sekian lama,” kata Mahmoud.
Ini merupakan kali pertama keluarga diraja Britain melawat wilayah Tebing Barat yang dijajah Israel.
Menyambut kunjungan bersejarah itu, Mahmoud berharap ia bukan lawatan kali terakhir, malah, beliau berbesar hati menyambut Putera William sekali lagi ‘apabila rakyat Palestin mencapai kemerdekaan mereka’.
“Kami percaya lawatan ini memupuk persahabatan antara penduduk Palestin dan Britain dan kami sentiasa memerlukan sokongan rakyat Britain untuk perjuangan kami,” kata Mahmoud lagi.
Beliau juga bersetuju bahawa peningkatan sokongan London kepada badan pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjadi petunjuk penting dalam situasi semasa di Asia Barat.
Pada pertemuan itu, Mahmoud turut mengulangi pendiriannya untuk menentang keganasan.
“Kami komited dalam memerangi keganasan walaupun di mana sahaja, sama ada di Palestin, rantau Asia Barat atau di peringkat antarabangsa,” kata Presiden Palestin berkenaan.
Putera William pula menyuarakan kegembiraan berhubung kunjungan pertamanya ke Palestin itu. Kerabat diraja itu dijadualkan menemui penduduk Palestin dan menghadiri beberapa aktiviti kebudayaan semasa kunjungan tersebut. – Bernama










