Pulau Pinang kutip tiga mata berharga - Utusan Malaysia

Pulau Pinang kutip tiga mata berharga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN 25 Jun – Kehangatan Piala Dunia di Rusia berjaya membangkitkan semangat Pulau Pinang apabila menewaskan PDRM 3-1 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Negeri Pulau Pinang di sini malam ini.

Tuan rumah mendapat deretan peluang termasuk pertembungan satu lawan satu pada minit ketiga dan sepakan penalti pada minit ke-8 yang gagal disudahkan oleh Kang Seungjo apabila tendangannya terkena tiang.

PDRM terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-11 hasil rembatan deras Shahurain Abu Samah yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Amirul Asyraf Mohd. Suhadi.

Pulau Pinang bangkit daripada ketinggalan apabila Mohd. Faiz Subri berjaya menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-25 sebelum Mohd. Fitri Shazwan Raduwan menambah jaringan lima minit kemudian.

Bersambung separuh masa kedua, Mohd. Faiz sekali lagi menemui penyudah cantik apabila mencetak jaringan pada minit ke-61.

Menjelang minit-minit akhir permainan, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu memperlahankan permainan sebelum mengutip tiga mata berharga.

Kemenangan itu bagaimanapun belum selamat bagi skuad Harimau Kumbang yang kini mengutip 15 mata hasil empat kemenangan dan tiga seri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN