Pulau Pinang komited untuk terus jadi bandar raya terbersih - Utusan Malaysia

Pulau Pinang komited untuk terus jadi bandar raya terbersih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan terus komited untuk menjadikan negeri ini sebagai sebuah bandar raya terbersih di negara ini dan mencapai kualiti kehidupan yang terbaik, kata Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan memulakan satu inisiatif baharu yang akan menjadikan Pulau Pinang negeri paling hijau dan bersih di negara ini serta menjadi satu pusat ekonomi yang hebat melalui semangat kesukarelaan menerusi usahasama dengan pihak berkuasa tempatan.

“Kerajaan negeri melalui kesinambungan kepada inisiatif Hijau, Selamat dan Sihat sepanjang 10 tahun ini telah cuba dengan sedaya upaya membawa kepada perubahan dan minda untuk mengamalkan budaya yang bersih, hijau supaya kita dapat menangkis gelaran negeri ‘Pulau Pinang Darul Sampah’ yang diberikan satu ketika dulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘PlogClean’ peringkat negeri di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, beliau juga yakin Pulau Pinang dapat mencapai pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar tanpa mengorbankan alam sekitar untuk tujuan pembangunan. 

“Kerajaan Pulau Pinang sentiasa berusaha untuk merealisasikan visi menjadikan negeri ini sebuah negeri yang bersih, hijau, selamat, sihat dan ceria. Ini merupakan satu respons kepada isu perubahan iklim dan paradigma pembangunan mampan yang berubah,” katanya.

Beliau berkata, Agenda Hijau Pulau Pinang  (2018-2030) bertujuan menggubal strategi-strategi bagi mengguna pakai serta membina satu komuniti yang berdaya tahan di Pulau Pinang untuk menyahut cabaran-cabaran alam sekitar di masa hadapan, yang merangkumi segala matlamat pembangunan lestari. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN