NEW SOUTH WALES – Seorang ahli psikik mendakwa boleh menghidu kematian seseorang, namun menyifatkan kelebihan itu sebagai sia-sia kerana tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan mereka.
Ari Kala, 24, sebelum ini bekerja sebagai setiausaha undang-undang, namun meninggalkan kariernya untuk menjadi ahli psikik profesional.
Dia mendakwa pertama kali menyedari kelebihan memiliki deria rasa keenam itu ketika melawat pakciknya yang sedang sakit. Ketika itu, Kala berusia 12 tahun dan telah tercium bau aneh yang kurang menyenangkan. Peliknya tidak ada orang lain dalam keluarganya boleh menghidu bau itu.
Dia kini mengajar golongan wanita bagaimana dapat memanfaatkan kekuatan psikik dalaman mereka. Namun dia mendedahkan tidak pernah memaklumkan kepada orang lain apabila menghidu detik kematian individu terbabit.
Ini kerana katanya, Kala beranggapan dia tidak berhak melakukannya.
“Tahun sebelum saya memulakan sekolah menengah, saya melawat pakcik saya dan menemaninya di hospital.
“Malam sebelum kematiannya, saya terhidu bau aneh, semacam bau busuk di dalam rumah.
“Saya fikir ia adalah bau mayatnya kerana saya tidak pernah menghidunya sebelum ini. Anehnya tiada sesiapa di dalam rumah itu dapat menghidunya.
“Saya kemudian sedar bahawa ia adalah isyarat kematian yang saya kerap ‘hidu’,” katanya.
Sejak itu, dia mendakwa telah mengalami perkara yang sama di sekeliling orang yang mengalami penyakit teruk atau sangat tua.
“Terlalu banyak untuk dihitung. Kadang-kadang ia terasa beban. Saya fikir saya perlu memberitahu mereka, namun ia bukan tugas saya.
Kala menyoal: “Bagaimana jika mereka tahu mereka akan mati tidak lama lagi? Jika saya beritahu, mereka akan mati, tetapi sebaliknya berlaku, sudah tentu ia akan jadi perkara di luar jangkaan. Saya tidak melihat kenapa saya perlu mengubah nasib mereka,” katanya. – www.mirror.co.uk










