Prospek bagi bank-bank Malaysia stabil - Moody's - Utusan Malaysia

Prospek bagi bank-bank Malaysia stabil – Moody’s

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Moody’s Investors Service menyatakan prospek bagi sistem perbankan Malaysia adalah stabil (A3 stabil) dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang disokong oleh keadaan makroekonomi yang kukuh dalam dan luar negara.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s, Simon Chen berkata dalam satu kenyataan hari ini, persekitaran itu memberi sokongan kepada bank-bank Malaysia di samping membantu menstabilkan kualiti aset dan keuntungan. 

Dalam masa yang sama, katanya, pertumbuhan pinjaman lebih pantas dijangkakan, kekal pada kadar yang lebih perlahan daripada pengekalan keuntungan bank-bank yang membawa kepada penampan modal yang lebih kukuh.

Rumusan Moody’s itu terkandung dalam laporannya yang baru dikeluarkan bagi bank-bank Malaysia bertajuk, “Robust Macro Conditions and Improving Capitalisation Support Stable Outlook,” dan dikarang oleh Chen.  

Prospek stabil itu adalah berdasarkan kepada penilaian Moody’s terhadap enam pemacu iaitu persekitaran operasi (stabil), kualiti aset (stabil), modal (bertambah baik), pembiayaan dan mudah tunai (stabil), keuntungan dan kecekapan (stabil) serta sokongan kerajaan (stabil).  

Mengenai persekitaran operasi, Moody’s berkata, meskipun keadaan makroekonomi yang terbukti kukuh, ketidaktentuan dasar memberi risiko dan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus pada 2018 dan pinjaman meningkat 6 hingga 7 peratus dalam tempoh yang sama. 

Penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan akan meningkatkan penggunaan swasta dan memberi manfaat kepada perniagaan tempatan dalam tempoh terdekat ini. 

Bagaimanapun, ketidakpastian mengenai perubahan dasar masa pada masa depan oleh kerajaan baharu akan mempengaruhi sentimen pelabur dan perniagaan sepanjang 2018.

Mengenai kualiti aset bank, Moody’s berkata, ia dijangka kekal stabil dalam keadaan tekanan yang berkurangan dalam kalangan syarikat korporat yang bermasalah dan pertumbuhan perlahan paras hutang isi rumah. 

Pembentukan pinjaman tidak berbayar baharu akan kekal perlahan dalam keadaan kenaikan sederhana kadar faedah apabila keuntungan bertambah baik dan pertumbuhan pinjaman isi rumah berisiko berkurangan. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN