KUALA LUMPUR 5 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan siasatan dilakukan secara telus dan terbuka terhadap dua projek saluran paip, Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) yang dibangkitkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun menegaskan, semua pihak harus lebih berhati-hati ketika membuat sesuatu dakwaan bermotifkan politik terutamanya melibatkan syarikat milik negara asing kerana dikhuatiri boleh mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia.
Kata Najib, beliau yakin semua prosedur dan proses perundangan telah dipatuhi berkaitan dengan rundingan dan pelaksanaan dua projek saluran paip tersebut.
“Saya turut dapati Guan Eng telah menyebut kesemua bayaran dibuat kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) adalah mengikut perjanjian dan bukan kepada pihak-pihak lain. CPPB merupakan anak syarikat kepada salah sebuah syarikat terbesar di dunia dan dimiliki oleh kerajaan China iaitu China National Petroleum Corporation.
“Kedua-dua projek saluran gas ini yang lebih ekonomi dan jaminan manfaat bekalan tenaga bagi Malaysia telah dirunding melalui asas kerajaan kepada kerajaan (government to government) dengan kerajaan China,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Hari ini, Guan Eng mendedahkan skandal didakwa berhubung kait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta Low Taek Jho atau Jho Low melibatkan syarikat Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER) dengan nilai sebanyak RM9.4 bilion.
Menurut Guan Eng, SSER merupakan anak syarikat Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 19 Mei 2016 untuk tujuan menjalankan dua projek yang telah diluluskan Kabinet pada 27 Julai 2016.
Katanya, jumlah yang sudah dibayar oleh kerajaan pada waktu itu adalah sebanyak RM8.25 bilion iaitu 87.8 peratus daripada nilai keseluruhan projek berbanding purata kemajuan kerja sebanyak 13 peratus di mana projek tersebut perlu disiapkan dalam masa dua tahun lagi. – UTUSAN ONLINE.











