ALOR SETAR – Masalah ketiadaan bekalan air yang dihadapi rakyat negeri ini terutama pada Hari Raya Aidilfitri bakal selesai dengan pembinaan rumah pam dan penggantian paip baharu yang bernilai RM1.2 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air serta Tenaga negeri, Ir. Zamri Yusuf
berkata, gangguan bekalan air di beberapa lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas bakal pulih sebelum hari raya ini.
“Sebanyak 10 tindakan dirangka dalam pelan kontigensi bekalan air yang mana lima tindakan akan siap sepenuhnya sebelum hari raya.
“Lima tindakan itu melibatkan pembinaan rumah pam di Padang Garam, Kuala Kedah; Pida 4, Tunjang; Taman Lembah Jerai, Gurun; Batu 8 Jeniang, Sik dan Kampung Kemunting, Kulim,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Kata Zamri, lima lagi langkah melibatkan projek sama akan dilaksanakan di Flat Setia Jaya di sini, Kota Kuala Muda; Bukit Kecil, Sungai Petani; Bendang Raja, Pendang serta Hujung Bandar, Sik.
“Baki lima langkah ini akan disiapkan dalam tempoh 100 hari seperti ditetapkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH),” ujarnya. – K! ONLINE











