ARAU 20 Jun – PPBM negeri menolak sama sekali hasrat Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Ismail Kassim untuk menyertai parti itu selepas beliau mengumumkan keluar daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) semalam.
Pengerusi PPBM negeri, Ameir Hassan menegaskan, tidak ada keperluan mereka menerima Ismail yang dilihat hanya boleh merosakkan parti semata-mata.
Dalam masa sama, Ameir juga mempersoalkan hasrat Ismail itu yang dilihat seolah-olah mahu menjadikan PPBM sebagai tempat menyelamatkan diri selepas BN kalah teruk di peringkat Pusat.
“Sebelum pilihan raya baru-baru ini mengapa tidak buat keputusan sertai PPBM sebaliknya apabila BN kalah baru ingin menyertainya. Untuk apa beliau (Ismail) hendak sertai PPBM?. Kalau hendak sertai PPBM bukan sekarang, sebaliknya daripada dahulu lagi.
“Kita tidak mahu penyakit di dalam UMNO masuk ke dalam parti kita (jika Ismail sertai PPBM) yang akhirnya semua akan rosak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang mengumumkan keluar UMNO dan BN selepas hilang keyakinan terhadap pucuk kepemimpinan parti.
Serentak dengan itu, adik kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim itu juga memaklumkan bakal menyertai PPBM dalam tempoh terdekat.
Untuk rekod, Ismail mula menyertai UMNO sejak 30 tahun lalu dan pernah menjawat beberapa jawatan penting iaitu sebagai Ketua Pemuda UMNO negeri, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau.
Sementara itu, Ameir turut menasihatkan Ismail supaya bermuhasabah diri selain fokus kepada perjuangan untuk membela nasib rakyat.
Selain itu, kata beliau, PPBM negeri juga tidak akan menerima mana-mana pemimpin UMNO lain yang berhasrat menyertai parti itu. – UTUSAN ONLINE











