Polis yakin selesai kes pembunuhan pemandu Grab selepas tahan suspek utama - Utusan Malaysia

Polis yakin selesai kes pembunuhan pemandu Grab selepas tahan suspek utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Polis Selangor yakin dapat menyelesaikan kes pembunuhan pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, yang ditemui maut di dalam kereta miliknya di Taman Selayang Makmur, Gombak dekat sini Sabtu lalu selepas menahan seorang lagi warga asing yang juga suspek utama kes terbabit tengah malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek lelaki yang juga kelindan lori sebuah syarikat di Setapak, Kuala Lumpur berusia 20 tahun itu ditahan di sebuah kawasan di Gombak kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

“Saya percaya tangkapan tengah malam tadi adalah yang terakhir dan lelaki ini juga adalah suspek utama kes ini. Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini.

“Kita yakin dengan penahanan enam suspek setakat ini dan kes pembunuhan pemandu Grab ini dapat diselesaikan dalam waktu terdekat. Kita juga sedang melengkapkan siasatan untuk mencari motif sebenar pembunuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di perkarangan IPD Klang Selatan di sini hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN