Polis tahan Siti Kasim - Utusan Malaysia

Polis tahan Siti Kasim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Peguam dan aktivis kontroversi Siti Kasim ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam satu kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang tengah malam tadi.

Suspek ditahan pukul 12.40 tengah malam susulan pihak polis menyelamatkan seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah kondominium dipercayai milik suspek di Segambut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, bertindak atas laporan yang dibuat ibu kepada wanita berusia 24 tahun itu polis menyelamatkan mangsa.

Katanya, ketika cuba diselamatkan, mangsa tersebut enggan memberikan kerjasama dengan bertindak menguncikan diri di dalam rumah. 

Susulan itu, pihak polis terpaksa memecah masuk bagi memastikan mangsa tidak mencederakan dirinya sendiri dan juga orang lain.

“Kita terima laporan pada Khamis lalu mengatakan mangsa dilarikan oleh suspek ketika menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Kajang. 

“Susulan itu, kita kesan mangsa berada di sebuah kondominium di Segambut semalam sebelum sepasukan polis ke lokasi bagi operasi menyelamatkannya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya lagi, tempoh tahanan reman terhadap suspek akan dipohon hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN