Polis tahan pengedar dadah dengan syabu seberat 919.75 gram - Utusan Malaysia

Polis tahan pengedar dadah dengan syabu seberat 919.75 gram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADAWAN 2 Jun – Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berjaya ditangkap bersama dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM180,000 ke RM185,000 di sebuah rumah Jalan Penrissen-Stakan di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Aidil Bolhassan berkata, suspek tersebut berusia 43 tahun dan bekerja sendiri ditahan pada pukul 2.30 petang tadi.

Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan melakukan serbuan ke atas rumah itu dan menemukan pelbagai barang terlarang yang disembunyikan di sebalik timbunan kayu bawah pokok kelapa belakang rumahnya.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu plastik biru berisi tin biskut warna kuning jenama JACOB’S bertampal dengan pelekat timah dengan penutupnya mengandungi empat bungkusan plastik lutsinar dan satu sampul warna coklat di dalamnya terdapat dua bungkusan plastik.

“Selepas diperiksa, setiap satunya berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar keseluruhan 919.75 gram,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek mengaku dadah itu miliknya yang dibeli daripada pembekal tempatan.

“Dia juga mengaku  terlibat dengan pengambilan dadah sejak lima tahun lalu dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN