Polis SPT tahan geng pecah rumah - Utusan Malaysia

Polis SPT tahan geng pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 12 Jun – Polis Seberang Perai Tengah (SPT) menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dalam serbuan berasingan di Seberang Jaya awal pagi semalam.

Dalam serbuan pertama pada pukul 5 pagi, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan sepasukan polis yang menjalankan Op Pencegahan Jenayah di kawasan itu sebelum dia mengaku terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dengan dua rakannya.

Ketua Polis Daerah SPTAsisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, polis kemudiannya menyerbu dua rumah milik lelaki yang dikenali sebagai ‘juling’ itu sebelum menahan salah seorang rakannya yang berusia 37 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil serbuan itu polis merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah antaranya 20 bentuk anting-anting emas, pelbagai komputer riba, peralatan elektrik serta pelbagai telefon bimbit dan semuanya bernilai lebih RM10,000.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah antaranya parang, pemutar skru, spanar dan sejumlah kunci rumah bersama dua lelaki berkenaan serta siasatan mendapati mereka terlibat dalam kegiatan itu sejak awal tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, modus operandi kumpulan terbabit adalah memantau rumah yang disyaki tidak berpenghuni sebelum memecah masuk dan melarikan barangan milik mangsa.

Jelas Nik Ros Azhan lagi, kedua-dua mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan selain usaha mengesan seorang lagi suspek sedang dijalankan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini