PENAMPANG – Polis Penampang giat melakukan pemantauan sindiket pertaruhan haram Piala Dunia 2018 seiring kerancakan temasya sukan bola sepak tersebut yang sedang berlangsung di Rusia.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, orang awam disarankan untuk menyalurkan maklumat supaya pihak polis dapat melumpuhkan sindiket perjudian di sekitar daerah ini.
“Pemantauan secara berterusan akan dilakukan sepanjang perlawanan Piala Dunia 2018 Rusia berlangsung. Inisiatif ini adalah untuk mengawal aktiviti perjudian haram daripada terus berleluasa di sekitar daerah Penampang khususnya.
“Sudah tentu dalam melaksanakan misi ini, kita memerlukan bantuan daripada orang awam untuk bersama-sama pasukan polis menumpaskan sindiket perjudian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.
Pada Khamis lalu, pihak polis berjaya merampas wang tunai sebanyak RM98,653 dan menahan sembilan individu termasuk seorang wanita hamil dipercayai bookie perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 Rusia dalam lima serbuan berasingan.
Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 37 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953. – K! ONLINE











