CHIANG RAI 29 Jun – Para penyelam masih berusaha untuk sampai ke lokasi yang dipercayai menempatkan 12 pelajar lelaki dan jurulatihnya yang terperangkap dalam sebuah gua di sini ketika pencarian kini memasuki hari keenam.
Penyelam berkenaan berdepan dengan air banjir yang mengalir deras memasuki dan memenuhi ruang dalam gua berkenaan selepas berlaku hujan lebat, sekali gus menyukarkan lagi kerja-kerja menyelamat.
Pasukan penyelamat berkata, laluan ke lokasi yang dipercayai tempat kesemua mangsa berlindung tersekat.
Keadaan dalam gua Tham Luang di wilayah Chiang Rai, gelap gelita dan airnya yang berlumpur diibaratkan seperti warna air kopi menyukarkan pencarian.
Sementara itu, Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha yang melawat lokasi kejadian untuk memberikan sokongan kepada penyelamat dan keselesaan kepada keluarga mangsa.
Pelajar berusia antara 11 dan 16 tahun dan penolong jurulatih berusia 25 tahun dipercayai hilang pada Sabtu lalu selepas mereka memutuskan untuk melawat gua Tham Luang dengan basikal dan kasut bola milik kanak-kanak tersebut ditemukan di depan pintu masuk gua.
Kerja-kerja menjejaki sekumpulan pelajar itu mendapat perhatian penyelamat antarabangsa.
“Apa sahaja yang boleh dilakukan, kita akan buat, kerajaan akan lakukannya,” kata Prayuth ketika bercakap kepada pasukan penyelamat.
Sementara itu, pihak polis telah menjatuhkan pakej bungkusan berisi air, makanan dan lampu suluh melalui lubang yang digali menembusi gua yang bergunung tanpa mengetahui kedudukan sebenar pelajar berkenaan.










