SINGAPURA – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengucapkan takziah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar atas kemangkatan bonda baginda Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah pada Jumaat lalu.
“Enche’ Besar Khalsom sangat dikasihi rakyat jelata negeri Johor. Baginda terkenal dengan keramahan dan kemurahan hatinya,” kata Hsien Loong dalam suratnya kepada Sultan Ibrahim bertarikh pada 3 Jun lalu.
Salinan surat itu dipanjangkan kepada Bernama oleh Kementerian Luar Singapura.
“Saya masih ingat, saya duduk di sebelah baginda pada majlis santapan sempena istiadat perkahwinan Tunku Mahkota Johor. Itulah kali pertama dan kali terakhir kami berjumpa serta kami berbual-bual dalam suasana penuh kemesraan. Baginda pasti akan dikenang dan dirindui.
“Kami merakamkan rasa dukacita kami kepada Tuanku dan seluruh Kerabat Diraja Johor,” tulis Hsien Loong. – Bernama










