PM Mahathir yakin Malaysia akan berjaya seperti Jepun   - Utusan Malaysia

PM Mahathir yakin Malaysia akan berjaya seperti Jepun  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin Malaysia akan berjaya seperti Jepun sekiranya rakyat negara ini memiliki etika kerja, pemikiran dan sistem nilai seumpama warga Jepun serta mempunyai perasaan malu jika mereka gagal melaksanakan tanggungjawab atau melakukan dengan baik apa jua tugas yang dihadapi.

Perdana Menteri Malaysia itu berkata, bila Dasar Pandang ke Timur pertama kali digubal ketika beliau menjadi perdana menteri pada era 80-an, ia bukan setakat menarik pelaburan dari Jepun atau datang belajar di negara ini.

“Ia mengenai soal mempelajari etika kerja orang Jepun, perasaan malu rakyat Jepun bila mereka gagal melaksanakan tugas yang mereka telah janjikan,” katanya pada majlis makan malam dengan rakyat Malaysia yang tinggal dan belajar di Jepun di sini malam ini.

Mahathir berada di kota raya ini untuk lawatan kerja tiga hari yang termasuk menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei.

Ini merupakan lawatan beliau yang pertama selepas menjadi perdana menteri ketujuh Malaysia pada Mei lalu berikutan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri juga menceritakan kepada kira-kira 250 hadirin majlis itu mengenai langkah yang dilaksanakan kerajaan untuk memulihkan Malaysia daripada kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu termasuk membebankan negara dengan hutang kira-kira RM1 trilion. – Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN