TOKYO – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja tiga hari yang padat ke ibu negara Jepun, lawatan pertamanya ke luar negara selepas menjadi perdana menteri Malaysia yang ketujuh pada Mei lepas.
Aturcara lawatan Dr. Mahathir ke Jepun mengandungi senarai panjang acara, mesyuarat dan temu bual media yang bermula dengan majlis makan malam bersama komuniti rakyat Malaysia di negara ini.
Pesawat yang membawa pemimpin Malaysia yang berkarisma itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada pukul 4.55 petang tadi waktu Malaysia yang sejam di belakang Jepun.
Dr. Mahathir yang berada di sini khusus untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei ke-24 mulai hari ini hingga 12 Jun depan diiringi isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan para pegawai Kementerian Luar.
Turut menyambut ketibaannya di lapangan terbang ialah Naib Menteri Parlimen bagi Hal Ehwal Luar Jepun, Iwao Horii, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa dan juga Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris. – Bernama










