KOTA BHARU 27 Jun – Para perwakilan diseru membuat keputusan bijak dengan memilih calon pemimpin terbaik yang berupaya memulihkan UMNO dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
![]() |
|
Mustapa Mohamed
|
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, beliau berharap pemilihan kali ini berpihak kepada kumpulan yang mampu menyuntik nafas baharu dalam parti.
Selain itu katanya, barisan pemimpin tertinggi juga perlu dikuasai individu yang bukan sahaja disukai akar umbi, malah boleh menambat hati rakyat.
“Kita nak pemimpin yang terbaik iaitu individu yang mampu tingkat keyakinan rakyat, mampu buat pembaharuan dalam UMNO, mampu menjadikan UMNO menarik bukan setakat kepada ahli sahaja tetapi kepada orang luar.
“Ini bukan mudah, kita kena susun strategi sebaik mungkin bermula dari sekarang,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Hari Raya Datuk Pa bersama petugas media di sini, malam tadi.
Yang turut hadir ialah Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Azran Fitri Rahim.
Dalam perkembangan lain, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, ketiadaan wakil dari negeri ini dalam Kabinet penuh Kerajaan Pakatan Harapan yang tular sejak dua hari lalu mendukacitakan seluruh rakyat Kelantan jika senarai itu benar-benar sahih.
Kata beliau, ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN), Kelantan masih mempunyai wakil dalam Kabinet meskipun dikuasai pembangkang kerana kehadiran sekurang-kurangnya seorang wakil dari negeri ini bakal memudahkan urusan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
“Buat masa sekarang, saya tidak boleh mengandaikan senarai itu benar kerana belum diumumkan dan belum angkat sumpah, tetapi kalau betul senarai itu, maka kita sebagai rakyat Kelantan dukacitalah sebab tiada wakil.
“Wakil dalam kerajaan Pusat ini sangat penting kerana akan mengukuhkan lagi usaha untuk membela rakyat dan melancarkan urusan pentadbiran Pusat dan negeri,” katanya.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tersebut dalam pada itu turut meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memilih menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementerian.
“Jika ini satu kesilapan, kita harap kesilapan sama tidak berlaku lagi. Sama ada kerajaan Pusat mahupun pembangkang, status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dihormati semua pihak,” katanya.












