PH Kelantan kemuka enam nama - Utusan Malaysia

PH Kelantan kemuka enam nama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 12 Jun – Pakatan Harapan (PH) negeri ini dikatakan mengemukakan sekurang-kurangnya enam nama untuk dicalonkan sebagai menteri atau timbalan menteri menerusi kuota senator dari Kelantan.

Pengarah Komunikasi PKR negeri, Mohd. Sukirman Mustafa berkata, individu-individu berkenaan merupakan calon terbaik mewakili parti masing-masing kerana berpengalaman luas dalam politik termasuk pernah menjadi Ahli Parlimen.

“Saya difahamkan PH di negeri ini menghantar enam nama, dengan setiap parti komponen kemukakan satu atau dua nama untuk dicalonkan sebagai menteri dan timbalan menteri mengikut kuota senator. PKR setakat ini hanya hantar satu nama.

“Siapapun dipilih mengisi jawatan itu kami akan akur. Apa yang penting, kami berharap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudi mempertimbangkan sekurang-kurangnya satu menteri dan timbalan menteri dari negeri ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri program beli-belah baju raya Majlis Pimpinan Negeri (MPN) melibatkan 120 anak yatim dan golongan asnaf dari seluruh cabang PKR di negeri ini di pasar raya KB Mall, di sini hari ini.

Program tersebut disempurnakan oleh Naib Pengerusi PKR Kelantan, Amran Ghani.

Difahamkan, calon tunggal mewakili PKR Kelantan ialah Pengerusinya iaitu Ab. Aziz Ab. Kadir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN