KAZAN 17 Jun – Akira Nishino hanya diberikan tempoh dua bulan untuk mempersiapkan Jepun sebelum Piala Dunia 2018 bermula selepas Vahid Halilhodzic dipecat.
Jepun yang bakal berdepan Colombia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H sedang berdepan pelbagai masalah termasuk isu keyakinan serta komunikasi di dalam pasukan itu sendiri.
Walaupun Halilhodzic mengesahkan slot Jepun di Rusia ketika peringkat kelayakan berbaki satu perlawanan, namun persembahan skuad Samurai Blue tidak meyakinkan.
Halilhodzic sebelum ini cuba mengubah Jepun untuk menjadi pasukan yang hebat dalam melakukan serangan balas dan untuk melaksanakannya dia telah menggugurkan tiga nama besar iaitu Keisuke Honda, Shinji Kagawa dan Shinji Okazaki.
Selepas pemecatan Halilhodzic, Jepun hanya menang tiga daripada 10 perlawanan terakhir dan badan induk sukan bola sepak Jepun bimbang mereka hanya akan mengulangi pencapaian 2014 dengan hanya meraih satu mata sahaja.
“Jika peluang untuk menang dalam Piala Dunia naik satu atau dua peratus sahaja, kami perlu bertindak pantas untuk meraih mata penting,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun, Kozo Tashima.
Nishino, 63, bertanggungjawab mengendalikan pasukan kebangsaan Jepun itu hingga tamat Piala Dunia 2018 dan dia tewas dalam perlawanan pertamanya selaku jurulatih 0-2 kepada Ghana dalam perlawanan persahabatan sebelum ke Rusia.
Sedekad lalu, Nishino berjaya membimbing Gamba Osaka untuk menjulang kejuaraan domestik pada 2005 dan muncul juara Liga Juara-juara Asia tiga tahun kemudian menerusi corak hantaran pantas.
Sementara itu, Colombia merupakan antara pencabar utama dalam dunia bola sepak dengan memiliki kekuatan di bahagian pertahanan selain pasukan yang lengkap dari segala aspek.
Los Cafeteros memiliki individu yang mampu melakukan perubahan sepanjang perlawanan termasuk James Rodriguez yang menjadi bintang tumpuan empat tahun lalu semasa di Brazil.
Kapten mereka, Radamel Falcao sudah pasti akan memberikan aksi terbaik kerana edisi kali ini merupakan peluang terakhir untuk dia membuktikan kemampuan sebenarnya dalam kejohanan utama. – AGENSI










