PASIR PUTEH 1 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diharap dapat melantik sekurang-kurangnya seorang menteri dari Kelantan walaupun gabungan parti itu gagal memenangi sebarang kerusi parlimen di negeri ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pelantikan itu diyakini mampu memperkuatkan pengaruh PH di Kelantan, sekali gus menarik sokongan rakyat kepada kerajaan Pusat.
Beliau berkata, tanpa menteri dari Kelantan, adalah sukar untuk menyelaraskan projek-projek kerajaan Persekutuan di negeri ini.
“Perkara ini selaras dengan janji Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu berlaku adil terhadap semua negeri walaupun tidak dikuasai PH,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat PBBM Kelantan, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata, PPBM Kelantan setakat ini berjaya mewujudkan sebanyak 48 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negeri ini sebagai sebahagian usaha meluaskan pengaruh di Kelantan.
”Penubuhan cawangan dan bahagian juga mula digerakkan sehingga September sebagai persiapan menghadapi perhimpunan agung PPBM di Kuala Lumpur pada akhir tahun ini.
“Hanya ahli yang menyertai parti sehingga Mei sahaja layak terlibat sebagai perwakilan dan menyertai pemilihan yang bakal diadakan nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE










