SUNGAI BULOH – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan secara tiba-tiba lalu melanggar dua buah kereta lagi dalam satu kejadian di Kilometer 446.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan di sini pada Sabtu lalu.
Akibat perlanggaran itu, dua buah kereta remuk selepas dirempuh oleh sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berpusing lalu melanggar kereta mereka.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superitendan Azman Shar’iat berkata, ketika kejadian pemandu Perodua Myvi itu, Muhammad Nur Afiq Shamsuddin,24, yang keluar dari susur keluar Lebuh Raya Guthrie di sebelah kiri jalan tersebut hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna merah yang berada di lorong kedua jalan tersebut.
“Pemandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara berwarna jingga, Mohd.Omar Mohd. Ilham, 34, yang berada di lorong paling kanan jalan tersebut tidak sempat mengelak atau berhenti lalu menghentam belakang kereta Perodua Axia tersebut yang berpusing ke arahnya.
“Perlanggaran tersebut menyebabkan ketiga-tiga kenderaan remuk di bahagian hadapan dan belakangnya manakala Muhammad Nur Afiq pula mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan kanannya akibat terkena beg udara yang terbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azman menambah, kedua-dua pemandu kereta Perodua Axia dan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati ketika kejadian permukaan jalan tersebut adalah basah dan hujan renyai.
“Kes tersebut disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” ujarnya.
Terdahulu, sebuah video tular di laman sosial Facebook hari ini yang menunjukkan rakaman sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabas ke tengah jalan di Lebuh Raya Utara Selatan sehingga menyebabkan perlanggaran dengan dua buah kereta sehingga remuk. – K! ONLINE











