PULAU SHENGSI, China – Sebuah perkampungan yang terabai lebih dua dekad lalu kini menjadi lokasi tarikan pelancong selepas ‘ditelan’ hutan rimba yang melitupi bangunan-bangunan tinggal selepas semua penduduk berpindah ke bandar.
Kampung Houtouwan yang terletak di Pulau Shengshan dahulunya merupakan sebuah perkampungan nelayan dan salah satu daripada 400 perkampungan yang terdapat di Pulau Shengsi.
Namun, pada pertengahan 1990-an, kampung yang pernah mempunyai kira-kira 3,000 penduduk itu mula terabai apabila kebanyakan penghuni bertindak meninggalkan kampung dan berpindah ke bandar berhampiran.
Sehinggalah pada tahun 2015, ‘kampung hantu’ itu menjadi viral apabila seorang jurugambar amatur dari Shanghai, Qing Jian telah merakam beberapa gambar menarik menunjukkan hampir keseluruhan kampung termasuk rumah-rumah dan laluan pejalan kaki dilitupi tumbuh-tumbuhan menjalar yang hijau sewaktu dia berkunjung ke Shengshan.
Sebelum ini, pelancong bebas untuk masuk ke kampung Houtouwan untuk merakam gambar, namun sejak tahun lepas, pihak berkuasa telah mengenakan bayaran masuk sebanyak 50 yuan (RM31) bagi setiap perjalanan harian. – Agensi











