SUSUK tubuh yang sering muncul di kaca televisyen untuk mengupas isu-isu dakwah ini terutama hal berkaitan wanita bukan asing lagi. Kelembutan suaranya yang bersiaran di corong radio IKIM.FM setiap pagi Jumaat membuatkan pendengarnya sentiasa ternanti-nantikan segmen beliau ke udara. Bahkan, program ceramah beliau di masjid-masjid tertentu lazimnya dibanjiri oleh para muslimat yang dahagakan nasihat dan tunjuk ajar daripada pendakwah kelahiran Kampung Kuala Jempol, Bahau, Negeri Sembilan ini.
Kepetahan Ustazah Datuk Norhafizah Musa, 43, berceramah memang diakui sentiasa ‘memukau’ telinga dan ‘menjentik’ hati para muslimat khususnya untuk terus istiqamah menadah ilmu.
Kepada Norhafizah, kemahiran dan keberanian yang dimiliki berceramah secara santai di hadapan khalayak tidak lain dan tidak bukan adalah hasil didikan serta latihan yang diterima sejak umurnya sembilan tahun.
“Ibu saya, Meriam Zakaria, 68, yang banyak membentuk kemahiran saya untuk berani bercakap di depan khalayak.
“Pada masa itu macam-macam perasaan datang, ada rasa takut, gementar sehingga saya menangis rupa-rupanya hasil pendedahan tersebutlah yang membentuk saya pada hari ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Gombak, Selangor.
Seingat beliau antara pembabitannya dalam pengucapan awam termasuklah pertandingan membaca berita, bercerita dan syarahan.
Anak kelima daripada enam beradik itu juga pernah menyertai musabaqah al-Quran ketika dalam darjah dua.
Juara syarahan
Bagaimanapun, lama-kelamaan keyakinan untuk berucap semakin terserlah dan menjadi persiapan kepada masa depannya sebagai pendakwah wanita.
Ketika di sekolah menengah, ibu kepada tujuh anak itu berjaya menjadi juara pertandingan syarahan bahasa Arab sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan.
“Minat untuk berdakwah muncul ketika saya melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan.
“Di sana, saya berpeluang untuk menyampaikan tazkirah dalam bahasa Arab kepada komuniti Arab,” ujarnya yang dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) Tokoh Agama dan Pendakwah Bebas pada Februari lalu sempena Hari Wilayah Persekutuan sekali gus membawa gelaran Datuk.
Ke mana tumpahnya kuah jika bukan ke nasi. Peribahasa tersebut menggambarkan bakat Norhafizah yang diwarisi daripada kedua-dua ibu bapanya yang juga merupakan seorang ustaz dan ustazah.
Selain menjadi tonggak kejayaan Norhafizah, ibunya banyak memberikan bimbingan, teguran dan nasihat untuk setiap pembawaan dirinya baik penampilan mahu pun cara beliau menyampaikan ceramah.
Berkahwin pada usia 21 tahun, Norhafizah bersyukur kerana minatnya dalam dunia dakwah disokong oleh suami, Dr. Azahar Yaakob, 46.
“Suami dan keluarga banyak menjaga memberi teguran dan bimbingan ketika saya membawa diri dalam masyarakat dan di media sosial agar sesuai dengan keadaan, suasana, tempat dan masa.
Sebagai pendakwah terkenal, bukanlah sesuatu yang pelik jika ramai yang enggan melepaskan peluang untuk bersalaman atau bergambar dengannya setiap kali selesai ceramah.
Bagaimanapun, wanita yang mempunyai wajah seiras dengan pelakon kelahiran Riau, Indonesia, Oki Setiana Dewi yang membawa watak utama dalam filem Ketika Cinta Bertasbih ini sangat berbesar hati untuk bersilaturahim dengan jemaah yang hadir.
Santuni jemaah
“Saya amat berharap masyarakat dapat menyelami keletihan yang ditanggung untuk menyantuni jemaah ibarat ibu bapa pengantin yang perlu bersalaman dengan tetamu pada majlis perkahwinan, bayangkan jika saya perlu melakukannya dua ke tiga kali sehari,” ujarnya yang sentiasa menjadikan al-Quran sebagai santapan rohani seawal Subuh setiap hari.
Sebagai pendakwah tersohor, itu bukan ukuran Norhafizah tidak mengagumi bakat yang dimiliki oleh mereka yang terlibat dalam bidang sama.
Wanita berkulit kuning langsat dengan ketinggian sederhana ini gemar mengunjungi Jepun. Beliau yang menyimpan impian untuk melawat negara Balkan serta Eropah ini amat mengagumi pakar motivasi terkenal, Prof. Dr. Muhaya Mohamad, Ustazah Zawiah Hassan serta beberapa pendakwah terkenal dari Indonesia seperti Aagym.
Berkongsi rahsia kecantikan, sejak kecil beliau sudah terdidik agar menjaga penampilan dan kesihatan. Selain minum air yang cukup, beliau mengamalkan makanan sunah, mengambil suplemen serta menjauhi makanan mengandungi pengawet atau perasa tambahan.
Bercerita mengenai rutin hari raya, Norhafizah memberitahu, selepas kedua-dua mertuanya yang tinggal di Kelantan meninggal dunia, beliau sekeluarga akan pulang menyambut lebaran di kampung halamannya di Negeri Sembilan.
Hari raya baginya adalah kesyukuran dan kembali menjadi hamba Allah yang taat.
“Dua perkataan untuk menggambarkan hari istimewa tersebut ialah syukur dan istiqamah.
“Tanda kesyukuran diterjemahkan dengan berkongsi kegembiraan dengan orang lain dan istiqamah pula meneruskan kesinambungan ibadah selepas sebulan berpuasa,” tuturnya yang suka menghabiskan masa lapang bersama anak-anak.
Aidilfitri
Menurut Pensyarah Psikoterapi Dakwah & Pembangunan Insan di Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Antarabangsa, Kuala Lumpur ini, hari raya hendaklah diraikan dengan mengambil kesempatan menunaikan solat sunat, bermaaf-maafkan, selain kunjung-mengunjung untuk mengeratkan silaturahim.
Dalam kesibukan meraikan Aidilfitri, generasi muda terutamanya dinasihatkan agar tidak ‘beruzlah’ atau menghabiskan masa sendirian dengan gajet sehingga mengabaikan makna sebenar hari raya. Antara juadah istimewa yang disajikan pada pagi Aidilfitri ialah soto, lontong bersama sambal bilis, bihun sup, nasi impit bersama kuah kacang atau mi goreng basah pedas.
Bagaimanapun, wanita tersebut sentiasa menggemari rendang dan masak lemak cili api air tangan ibunya.
Walaupun bulan Syawal banyak dipenuhi jemputan dakwah di seluruh negara, Norhafizah yang kini mengacarakan rancangan Dakwah Live terbitan TV Alhijrah tetap mengalu-alukan kedatangan keluarga dan rakan-rakan rapat bertandang ke rumahnya.
Berkongsi memori Aidilfitri zaman kecilnya, sama seperti kanak-kanak lain, Norhafizah juga mempunyai cita rasa berfesyen.
“Saya masih ingat lagi, umur saya pada masa itu 11 tahun. Saya paksa ibu belikan skirt dan kasut tumit tinggi untuk digayakan pada hari raya. Baju biru dan skirt kelabu kotak-kotak itulah yang saya pakai untuk berkunjung ke rumah guru-guru. Malangnya, disebabkan saiz kasut yang tidak sepadan dengan kaki saya kerap terpelecok. Sudahnya, saya pulang ke rumah berkaki ayam,” imbaunya sambil tertawa kecil.
Namun, bagi Norhafizah kenangan tersebut menjelaskan perjalanan beliau mencari personaliti diri sebelum terdorong untuk menjadi wanita solehah dan mahu mengenal Allah.
Dalam pada itu, wanita yang gemar menggubah bunga dan menghias rumah itu berharap anak-anaknya akan meneruskan usaha dakwahnya dengan cara mereka.
Kepada pendakwah wanita tersohor negara, Ustazah Datuk Norhafizah Musa, hari raya adalah tanda kesyukuran dan istiqamah meneruskan kesinambungan ibadah selepas Ramadan.











