Perak kekalkan kedudukan biarpun seri - Utusan Malaysia

Perak kekalkan kedudukan biarpun seri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Jun – Perak mengekalkan kedudukan kedua saingan Liga Super biarpun diikat Selangor 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Keputusan tersebut membolehkan skuad Bos Gaurus mengutip 28 mata selepas beraksi 16 perlawanan setakat ini.

Dalam pertembungan itu, Perak terlebih dahulu berada di depan selepas pemain Selangor, Alfonso De La Cruz Calero menjaringkan gol sendiri pada minit ke-42.

Bagaimanapun kapten Selangor Amri Yahyah menyelamatkan maruah Gergasi Merah dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-81 menerusi sepakan percuma yang berjaya mengelirukan penjaga gol Perak, Khairul Amri Salehuddin.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Pahang merapatkan jurang mata dengan Perak setelah menang 3-1 ke atas Negeri Sembilan.

Skuad Tok Gajah terlebih dahulu selesa mendahului 3-0 hasil jaringan Issey-Nakajima Farran pada minit ketujuh dan minit ke-64 sebelum bekas pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha menambah derita pasukan Negeri Sembilan dengan gol ketiga, tujuh minit kemudian.

Begitupun Negeri Sembilan tidak pulang dengan tangan kosong apabila Fauzan Dzulkifli menjaringkan gol sagu hati untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-82.

Dalam pada itu, PKNS FC kembali meraih kemenangan setelah menewaskan pasukan tercorot, Kelantan 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Dua gol Semut Merah dijaringkan oleh pemain dari Brazil, Bruno Oliveira de Matos pada minit keempat dan ke-86.

Melaka turut meraih tiga mata setelah menang 2-1 ke atas PKNP FC di Stadium Perak, Ipoh.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi penyerang berbisa Shahrel Fikri Fauzi pada minit ke-56 sebelum Melaka bangkit meraih dua gol hasil sentuhan penyudah Lee Chang Hoon dan Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi, masing-masing pada minit ke-65 dan masa kecederaan penghujung perlawanan.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN