YEKATERINBURG, Rusia 22 Jun – Terlepas penerbangan transit di Moscow memaksa sekumpulan penyokong Peru membayar AS$800 (RM3,200) untuk menaiki teksi bagi menonton perlawanan Piala Dunia.
Empat sekawan itu terpaksa berkomunikasi menggunakan aplikasi Terjemahan Google dengan pemandu teksi yang berterusan menaikan harga tambang.
Mereka terdesak untuk tiba tepat pada waktu bagi menonton perlawanan pertama Peru menentang Denmark di Saransk, yang terletak kira-kira 650 kilometer dari ibu negara Rusia, Moscow.
“Kami mengharungi perjalanan selama 10 jam bersama lelaki dari Tajikistan yang tidak tahu berbahasa Inggeris. Ia sangat sukar,” kata Rodolfo Devercelli ketika bercerita tentang pengalamannya.
Kata Devercelli, mereka pada mulanya bersetuju untuk membayar AS$600 (RM2,400), namun selepas 20 minit, pemandu tersebut berkata: “Saya fikir, perjalanan akan menjadi lebih jauh, jadi ia patut naik kepada AS$700 (RM2,805)”.
Tiga jam sebelum tiba di Saransk, harga meningkat kepada AS$1,000 (RM4,010), selain mereka perlu mengisi penuh petrol.
“Saya kata, AS$1,000 mengarut. Saya setuju bayar AS$800 dan akan isi penuh tangki minyak kereta anda. Itulah pengalaman buruk kami untuk sampai ke Saransk,” kata Devercelli lagi.
Walaupun Peru tersingkir awal daripada Piala Dunia selepas mengalami kelahan 0-1 kepada Denmark dan Perancis, namun Devercelli berkata, secara keseluruhan mereka melalui pengalaman yang baik di Rusia.
“Semalam kami mahu mengambil tiket di DHL tetapi seorang wanita yang bekerja di sana memberitahu, kami berada di pejabat yang salah.
“Dia menghubungi Uber menggunakan telefonnya dan menyuruh pemandu menghantar kami ke pejabat yang betul. Dia membayar tambang Uber. Dia sangat baik,” kata rakan Devercelli, Joaquin Otero. – REUTERS










