SEPERTI biasa apabila soal penyatuan Melayu diperkata atau ditimbulkan oleh mana-mana pemimpin, mereka akan dituduh rasis dan mahu mengamalkan politik perkauman. Kata puak-puak yang menentang, sekarang Malaysia Baharu, kononnya kini kita bercakap soal ketuanan Malaysia manakala ketuanan Melayu sudah tidak relevan.
Justeru tidak hairanlah apabila bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman membangkitkan perkara berkaitan orang Melayu, mereka dikecam melalui komen-komen dalam laman sosial.
Mohamad memberi peringatan supaya pihak-pihak tertentu tidak melampau sangat apabila bertindak atau melakukan sesuatu berkaitan Islam dan orang Melayu manakala Tajuddin pula sejak seminggu lalu mengajak Pas bersama UMNO memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.
Soalnya kenapakah sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bercakap soal Melayu dilihat sudah tidak relevan lagi? Apakah kerana UMNO gagal mengekalkan kuasa manakala Pas tidak menang besar dalam pilihan raya itu maka perkara berkaitan orang Melayu tidak layak dibicarakan?
Penulis tidak mahu mengulas apa yang berlaku sejak kerajaan bertukar tangan. Satu demi satu isu yang berlaku sudah membuktikan bahawa sudah ada kelompok yang semakin naik tocang. Pelbagai tuntutan dibuat dan pelbagai jawatan mahu diberikan kepada individu tertentu tanpa mengambil kira lagi sensitiviti orang Melayu.
Apa yang mahu diperkatakan ialah orang Melayu tidak boleh lagi melihat penyatuan antara mereka sesuatu yang aneh. Usah difikirkan lagi akan kehilangan sokongan daripada kaum-kaum lain kerana sudah terbukti, siapa parti pilihan hati mereka.
Sekarang pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas perlu benar-benar memikirkan mengenai kepentingan bangsa dan agama. Perubahan politik yang berlaku di negara kita sudah tidak memungkinkan untuk kedua-dua parti itu terus bertelagah biarpun di luar musim pilihan raya.
Sebab itulah gesaan Tajuddin dan kenyataan Mohamad bukanlah bertujuan mencari publisiti menjelang pemilihan UMNO, kalau dikaji kedua-dua mereka pernah memperkatakan hal ini sejak dulu lagi.
Dan sekarang adalah waktu sesuai untuk pemimpin kedua-dua parti itu mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dan menjadi gabungan terkuat di Dewan Rakyat. Ini bukan soal mana-mana parti perlu dibubarkan atau tidak. Hentikanlah hujah politik seumpama itu. Bukalah minda untuk melihat kerjasama tersebut dalam konteks lebih luas.
Keputusan PRU-14 membuktikan jika undi kedua-dua parti itu digabungkan, keseluruhan berjumlah lebih 4 juta yang mana UMNO mencatatkan jumlah undi popular paling tinggi berbanding parti-parti Melayu lain.
Fakta ini membuktikan orang Melayu masih bersama-sama dengan UMNO dan Pas. Jika mereka benar-benar beralih arah sudah tentu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Amanah akan mencatatkan kemenangan besar. Tetapi fakta pilihan raya membuktikan sebaliknya.
Oleh itu jalan harus dicari oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas untuk mewujudkan titik kerjasama antara mereka. Bersama-sama mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam bukanlah rasis tetapi dalam senario politik terkini ia sudah menjadi satu keperluan.
Biarlah apapun orang nak kata termasuklah juak-juak di sebelah sana. Mereka berhak untuk memperkatakan apa sahaja apatah lagi kalau yang bercakap itu sudah dianggap berada dalam kategori ‘mahu meliberalisasikan’ segala-galanya.
Bekerjasama untuk mempertahan dan memperjuangkan kepentingan Melayu serta Islam bukanlah rasis. Yang dianggap rasis ialah mereka yang cuba mengganggu gugat hak orang Melayu dan Islam serta menuntut kesamarataan dalam semua perkara.
Tetapi kelompok itu tidak dianggap rasis. Mereka disanjung sebagai berjiwa Malaysia biarpun selama ini mereka hidup senang dan menikmati keistimewaan atas perjuangan parti-parti Melayu.
Namun kita tidak mahu bercakap soal politik. Apa yang kita mahu lihat ada satu kerjasama antara UMNO dan Pas dalam perkara berkenaan dan bukannya terus bertelagah akibat perbezaan ideologi politik.
Memang benar dari segi perolehan kerusi Parlimen melibatkan UMNO dan Pas tidaklah sebanyak mana tetapi ia juga menjadi suara kepada orang Melayu dalam Dewan Rakyat dan paling penting menjadi benteng supaya mana-mana pihak seperti mana kata Mohamad ‘Janganlah melampau sangat’.
Penulis pasti tulisan seumpama ini akan dikecam. Seperti biasa ‘lagu lama’ yang membosankan akan dimainkan iaitu bersikap rasis. Tetapi pedulikanlah puak-puak yang tak sedar dek untung tersebut kerana kali ini selepas PRU-14 agenda mengenai penyatuan orang Melayu bukan lagi sekadar laungan mahupun retorik politik. Ia perlu direalisasikan.
Hanya kepada UMNO dan Pas sahaja orang Melayu boleh bergantung harapan memperjuangkan nasib mereka. Selagi mereka tidak bersatu, selagi itulah pihak-pihak tertentu akan bergembira kerana orang Melayu berpecah belah.
Mereka sudah pun menuai hasilnya dalam pilihan raya umum lalu dan sekarang masanya untuk mereka melaksanakan agenda yang selama ini sudah terpendam sekian lama. Apakah agenda itu? Ia pasti akan terkuak dari semasa ke semasa.
Oleh itu orang Melayu perlu bersatu. Bersatu bukanlah bermakna berada dalam satu parti atau gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebaliknya senada dan sekata dalam memperjuangkan isu tertentu, sekali gus memberi isyarat perjuangan orang Melayu masih belum berakhir.











