KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan dalam keadaan berseluar dalam oleh orang awam selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan Sungai Kampung Puah, Lembah Gombak di sini kelmarin.
Kejadian pukul 4.30 pagi itu, disedari jiran mangsa selepas melihat suspek berjalan keluar dari rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek berusia 43 tahun itu dikatakan memecah masuk ke dalam rumah tersebut melalui tingkap dapur.
Katanya, suspek bertindak membuka baju dan seluarnya sebelum masuk ke rumah berkenaan kerana bimbang pakaiannya tersangkut pada tingkap dapur tersebut.
“Suspek yang hanya memakai seluar dalam itu berjalan kaki keluar dari rumah tersebut sebelum kegiatannya disedari jiran mangsa yang kebetulan sedang berbual bersama beberapa rakan di luar rumah.










