MIRI 28 Jun – Seorang penunggang motosikal warga Indonesia maut dirempuh sebuah pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux di simpang Jalan Perlis -Kuala Baram By Pass di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 malam itu, mangsa, Kasim Sikki, 46, meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika mangsa dikatakan secara tiba-tiba masuk ke simpang tanpa memberikan isyarat hingga mengakibatkan pemandu Toyota Hilux terbabit gagal mengelak lalu merempuh mangsa.
Katanya, pemandu Toyota Hilux yang berusia 25 tahun dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kuala Baram menghala ke pusat bandar raya Miri.
“Impak rempuhan yang kuat mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah.
“Pemandu lelaki itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.
Tambahnya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.
“Keterangan daripada pemandu Toyota Hilux itu telah diambil untuk membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











