KOTA KINABALU – Seorang penunggang motosikal jenis Modenas maut selepas dipercayai dilanggar sebelum digilis sebuah lori di Jalan Lintas berhampiran Taman Cantek di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, mangsa, Khairul Hisyam Sham Hari yang berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.
Dimaklumkan, sebelum insiden, motosikal ditunggang lelaki terbabit telah bergesel dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia 28 tahun sebelum dilanggar dan digilis pula sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 56 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, susulan kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan daripada Hospital Queen Elizabeth 1 dekat sini.
“Kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan ini telah menyebabkan penunggang motosikal beralamat dari daerah Penampang maut,” katanya hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. – K! ONLINE











