Penjaga pusat hiburan bertindak agresif elak ditahan Jabatan Imigresen - Utusan Malaysia

Penjaga pusat hiburan bertindak agresif elak ditahan Jabatan Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Tindakan agresif beberapa individu yang menjaga tiga buah pusat hiburan di Muar, Johor tidak berjaya menghalang Jabatan Imigresen untuk menumpaskan kegiatan tidak bermoral oleh wanita warga asing di premis tersebut dalam satu serbuan malam semalam. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil risikan Unit Operasi Khas (QRT), Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen mendapati ketiga-tiga pusat hiburan itu menyediakan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing kepada pelanggan tetap sahaja.

“Wanita warganegara asing bekerja sebagai GRO dengan meneman, menghidang minuman keras dan beramah mesra dengan pelanggan untuk mendapatkan tips. Setiap hidangan minuman keras yang dipesan oleh pelanggan melalui GRO, sebanyak 15 peratus daripada setiap jualan minuman keras akan dibayar sebagai tips kepada GRO terbabit.

“Pihak yang menjalankan kegiatan ini mengaut keuntungan hampir ribuan ringgit dalam masa sehari melalui aktiviti GRO.

“Wanita-wanita GRO ini didapati mempunyai buku catatan penjualan minuman keras dan tips harian mereka akan dicatat dalam buku tersebut sebagai rujukan mereka untuk mendapatkan bayaran selepas selesai tugas mereka pada hari tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Hasil operasi yang dijalankan oleh 30 anggota penguat kuasa tersebut, Jabatan Imigresen berjaya menahan seramai 89 wanita warganegara asing yang terdiri daripada 86 wanita warganegara Vietnam dan tiga wanita warganegara Thailand.  

“Anggota penguat kuasa juga turut menahan dua lelaki warganegara asing yang terdiri daripada seorang lelaki warganegara Nepal dan seorang lelaki warganegara Myanmar yang merupakan pekerja bagi premis-premis pusat hiburan yang diserbu. 

“Pegawai operasi juga berjaya menahan tujuh orang lelaki warganegara Malaysia yang bekerja sebagai penjaga di premis tersebut.

“Beberapa penjaga premis tidak memberi sebarang kerjasama dan cuba berkelakuan agresif dengan menolak anggota serbuan dan menguncikan mereka di dalam premis dan wang tunai sebanyak RM1,800 dirampas kerana disyaki merupakan hasil kutipan daripada aktiviti pelacuran,” jelas beliau.

Menurut Mustafar, sebanyak 15  Borang Imm.29 (Saman kepada Saksi) dikeluarkan kepada penyelia, pekerja dan juga pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.  
Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. 

“Kesemua tahanan telah diserahkan ke Bahagian Penguatkuasa Setia Tropika, Johor untuk siasatan dan tindakan susulan. Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN