Penilaian barangan rampasan dilakukan oleh pakar yang dilantik - Utusan Malaysia

Penilaian barangan rampasan dilakukan oleh pakar yang dilantik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan bahawa segala proses penilaian ke atas barangan rampasan milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan oleh individu yang pakar dalam bidang tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Mohamad Fuzi, penilaian terhadap barangan rampasan tersebut dilakukan oleh individu-individu pakar yang dilantik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mengikut prosedur operasi yang telah ditetapkan.

“Polis tidak membuat penilaian sendiri terhadap barangan rampasan tersebut sebaliknya ia dilakukan oleh individu yang pakar dalam bidang berkenaan.

“Anggaran nilai barangan rampasan tersebut diterima daripada pakar dan bukannya dibuat sesuka hati lebih-lebih lagi polis mempunyai prosedur operasi standart yang harus dipatuhi,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilfitri di Bukit Aman di sini pagi tadi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor dan Ketua Pegawai Operasi TM One, Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Mohd. Roslan Mohd. Rashidi.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mendedahkan bahawa nilai wang tunai dan barangan kemas berserta beg tangan berjenama yang dirampas menerusi beberapa siri serbuan terhadap premis yang dikaitkan dengan Najib adalah mencecah sehingga RM1.1 bilion.

Bagaimanapun Najib dalam satu wawancara bersama sebuah portal berita tempatan kemudiannya menyifatkan penilaian tersebut sebagai subjektif dan tidak realistik kerana terdapat batu pada barangan kemas yang dirampas itu sudah berusia kira-kira 20 tahun.

Tambah Najib, nilai barangan berkenaan ketika dibeli juga perlu diambil kira dalam penilaian tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini