JOHOR BAHRU- Tindakan seorang peniaga kilang papan memberi rasuah RM500 kepada penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) pada Januari lalu membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Yau Chang Hong, 31, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dan turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Chang Hong didakwa memberi suapan wang tunai RM500 kepada Pembantu Penguat Kuasa, Nik Ekbar Effendi Nik Sazali, 31, yang bertugas di MPK sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan kompaun dan tidak mengambil tindakan ke atas perniagaan kilang papan tanpa lesen selain menjadikan rumah selain maksud asal iaitu kilang memproses kayu dan papan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di alamat No. 182, Jalan 10, Kg Gajah, Kluang pada 17 Januari lalu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman berkenaan dan turut memerintahkan wang RM500 dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Anis Redza Mohamad Anuar dan pegawai penyiasat kes, Penolong Penguasa Syamsul bin Salim. – K! ONLINE










