PULAU PINANG 27 Jun – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Julai ini untuk pengurusan kes petisyen yang difailkan Pengerusi PPBM negeri, Marzuki Yahya untuk mencabar keputusan Pilihan Raya ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Perkara itu diputuskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Mohd. Azhar Hamzah bagi membolehkan petisyen itu didengar di hadapan hakim, Datuk Hashim Hamzah.
Menurut peguamnya, Azlina Mehtab Mohd. Ishaq, Marzuki yang bertanding atas logo PKR untuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU-14 mencabar keputusan yang dikeluarkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak permohonannya agar kiraan semula undi dibuat.
Dalam permohonannya, Marzuki memohon agar pengiraan undi dibuat semula berdasarkan Perkara Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 selain mahu pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi kerusi Parlimen tersebut.
Ia berikutan Marzuki hanya tewas dengan majoriti 81 undi selepas memperoleh 18,466 undi berbanding 18,547 undi yang diterima calon Barisan Nasional Datuk Shabudin Yahaya.
Pada 12 Jun lalu, beliau memfailkan petisyen tersebut dengan menamakan Shabudin sebagai responden pertama selain Pegawai Pengurus Pilihan Raya P042 Tasek Gelugor, Marlia Mohd. Belia (responden kedua) dan SPR sebagai responden ketiga.-UTUSAN ONLINE











