BATU PAHAT 31 Mei – Kesemua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri digesa bertanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Malah, kesemua mereka terutamanya di negeri-negeri yang tewas perlu mengikut langkah bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melepaskan jawatannya dalam parti.
Pengerusi Badan Perhubungan Veteran UMNO Johor, Datuk Abd. Rahman Yunos berkata, UMNO perlu memberi peluang kepada muka baharu untuk melakukan perubahan menyeluruh agar parti terus kekal relevan.
“Sudah sampai masa UMNO perlu berubah secara total, kalau yang ada hari ini sibuk rebut jawatan sedangkan (masih) dalam kekalahan, hentikan dan balik ke pangkal jalan kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah dihukum rakyat.
“Maka, saya cadangkan pengerusi-pengerusi negeri juga ikut langkah sama dengan Datuk Seri Najib. Jangan Presiden sahaja letak jawatan, kita orang lama memang sayang UMNO tetapi apakan daya, kekuatan kita ada hadnya,” kata beliau dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sehubungan itu, Abd. Rahman pada masa sama turut mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Veteran UMNO Johor kerana berpendapat gagal membantu parti mempertahankan negeri ini.
Katanya lagi, jika tidak mengambil ikhtibar untuk memperbetulkan semula parti, UMNO akan terus berakhir atau berterusan berada pada takuk lama seperti yang berlaku hari ini.
“Kekalahan UMNO-BN merupakan kesilapan sendiri kerana veteran berpendapat terlalu ramai pemimpin dalam parti yang menjadi penyebabnya, ada segelintir mereka tak boleh ditegur dan tak mahu jumpa orang parti seperti kami.
“Sepatutnya dengar (pandangan) rakyat, kalau sayang parti korbankan diri jangan fikir kedudukan sebab dahulu nak bina parti ini tak perlu kedudukan apa pun tetapi hari ini tak boleh malah apabila kita menegur kita pula yang ditegur,” tegas beliau.









