KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Nepal maut dalam keadaan mengerikan selepas ditikam seorang pengawal keselamatan yang merupakan rakan senegaranya di Putra Majestik, Jalan Kasipillay Off Jalan Ipoh, Sentul di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2.01 pagi itu, Pusat Kawalan Daerah Sentul telah menerima panggilan kecemasan dari seorang lelaki warga Nepal yang memberitahu mengenai kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah pergi ke alamat yang diberitahu.
“Sebaik tiba di lokasi tersebut, anggota polis telah melihat seorang lelaki warga Nepal berada dalam keadaan mencurigakan di luar halaman rumah berkenaan.
“Anggota polis kemudian telah menahan suspek dan hasil soal siasat mendapati suspek mengaku menikam mangsa menggunakan sebilah pisau sambil disaksikan beberapa rakan serumahnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE










