SEPANG 22 Jun – Penerbangan pertama Malaysia untuk musim haji 1439H/2018 dijadualkan pada 14 Julai ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Johan Abdullah berkata, penerbangan terakhir pula dijangka pada 14 Ogos ini.
Katanya, penerbangan balik pertama dan terakhir selepas selesaikan menunaikan ibadah haji masing-masing adalah pada 29 Ogos dan 29 September ini.
“Sebanyak 30,200 jemaah haji Malaysia dijangka berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat-peringkat menerusi 81 penerbangan sewa khas oleh Malaysia Airlines dan Flynas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta lapan stesen berlepas seluruh Malaysia.
“Buat julung kalinya, operasi haji tahun ini bermula di Kompleks Tabung Haji Sepang yang sebelum ini dilakukan di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Operasi Haji Musim 1439H/2018 di Kompleks Tabung Haji Sepang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air 1439H/2018, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Mengulas lanjut mengenai Kompleks Tabung Haji Sepang, Johan berkata, tahun ini ia bakal mencatatkan sejarah bagi pengurusan haji Malaysia apabila buat pertama kalinya lokasi itu digunakan untuk operasi haji tanah air.
Katanya, kompleks itu bakal menggantikan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya yang telah beroperasi sejak 36 tahun lalu bermula pada 1982.
“Kompleks ini terletak di lokasi strategik kerana terletak kira-kira 10 minit dari KLIA sekali gus menjimatkan jarak perjalanan dan lebih selesa berbanding Kelana Jaya.
“Malah ia boleh menampung kira-kira 900 orang dalam satu masa apabila dua penerbangan sekali gus dapat digunakan membawa jemaah ke Tanah Suci,” katanya.
Sementara itu, Syed Saleh menasihatkan bakal-bakal jemaah haji untuk tiba empat jam lebih awal daripada waktu penerbangan untuk melepasi proses daftar masuk dan dokumentasi.
Katanya, walaupun Kompleks Tabung Haji Sepang mempunyai prasarana dan kemudahan lebih selesa, mereka dinasihatkan untuk melakukan persiapan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika proses daftar masuk.











