KUALA LUMPUR 21 Jun – Sebanyak dua juta penduduk Gaza kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan antarabangsa bagi meneruskan kehidupan ekoran situasi yang semakin memburuk di wilayah Palestin tersebut.
Aktivis sukarelawan, Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar berkata, keadaan ini berlaku apabila 60 peratus dari penduduk Gaza terpaksa menganggur kerana kehilangan kerja atau tidak ada kerja yang boleh dibuat bagi menampung kehidupan akibat tekanan yang teruk dari sekatan demi sekatan yang dikenakan oleh rejim Israel.
Katanya, akibat terlalu terdesak untuk hidup, penduduk yang menganggur tersebut terpaksa meminjam daripada kira-kira 40 peratus dalam kalangan penduduk yang masih mempunyai pekerjaan.
“Namun tindakan berhutang ini menyebabkan kira-kira 2,500 penduduk dihukum penjara kerana tidak dapat melunaskan hutang-hutang yang dibuat mereka sedangkan jumlah keseluruhan hutang kesemua mereka itu hanya berjumlah RM500,000 sahaja.
“Mungkin menjadi amalan undang-undang di sana, pengadu boleh membuat aduan mengenai hutang-hutang yang tidak dibayar dan yang berhutang terpaksa menyerah diri dan akhirnya dihukum penjara. Tanpa mengambil kira kesusahan yang menimpa pihak yang berhutang,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Beliau ditemui sekembalinya dari Gaza selepas berada di sana selama empat hari bermula pada 8 Jun lalu.
Mohd. Zin yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare berkata, beliau berpeluang melihat sendiri keadaan keseluruhan terkini di Gaza semasa mengikuti misi ke-20 MyCare bersama-sama konvoi anggota sukarelawan dari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa terkenal, Miles Of Smiles yang berpusat di London. – UTUSAN ONLINE










