KUALA LUMPUR – Penangguhan pelaksanaan lima janji manifesto Pakatan Harapan (PH) akan melindungi integriti defisit bajet dan mengawalnya kepada sasaran 2.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, bajet perlu dilaksanakan secara pragmatik bagi mencerminkan realiti semasa ekonomi dan kewangan, termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan berkadar sifar yang akan mengurangkan hasil bajet.
“Pengurusan hutang akan bertambah baik dengan penangguhan lima janji-janji ini.
“Anggaran hutang RM1 trilion kini akan lebih mudah diuruskan mengikut standard kewangan antarabangsa, termasuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa,” katanya kepada Bernama.
Pada Khamis, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan lima inisiatif yang terkandung dalam manifesto pilihan raya ’10 janji dalam tempoh 100 hari’ sehingga keadaan kewangan negara pulih.
Ini termasuklah subsidi petrol bagi kereta di bawah 1,300cc dan motosikal di bawah 125cc, sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kepada suri rumah dan menaikkan gaji minimum.
Turut ditangguhkan adalah rancangan untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bagi lepasan ijazah yang memperoleh pendapatan RM4,000 ke bawah sebulan dan pengembangan Skim Peduli Sihat di seluruh negara, yang menawarkan rawatan asas bernilai RM500 di klinik swasta berdaftar bagi isi rumah pendapatan terendah 40 peratus (B40). – Bernama










