Pemilihan UMNO: Siapa perlu bertanding? - Utusan Malaysia

Pemilihan UMNO: Siapa perlu bertanding?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, PEMILIHAN pucuk pimpinan UMNO kian menjelang tiba. Ramai ahli UMNO sudah mula menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan yang diingini sebaik sahaja peraturan membenarkan semua jawatan parti boleh dipertandingkan bermula dari jawatan Presiden hinggalah ahli Majlis Tertinggi (MT).

Ini menunjukkan UMNO kini lebih terbuka pada kaca mata masyarakat. Ia suatu perkembangan yang sangat baik demi menjamin kemajuan dan kemantapan UMNO.

Namun, pencalonan calon dalam UMNO masih dilihat dalam versi lama kerana para pemimpin yang sama masuk bertanding atau bertanding bagi mengekalkan kuasa dan jawatan.

Seharusnya para pemimpin ‘otai’ UMNO sudah memahami suara dan kehendak rakyat yang mahukan perubahan secara total. Ahli-ahli parti yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sepatutnya tidak perlu lagi bertanding.

UMNO masih tidak berubah kerana alpa dan tidak belajar daripada Pakatan Harapan yang meletakkan ramai calon muda dalam kepemimpinan mereka.

UMNO pula masih konservatif kerana ‘otai-otai’ dalam parti masih ingin pegang jawatan dalam MT.

Sepatutnya ‘otai-otai’ dalam UMNO memberi laluan kepada calon orang muda untuk bertanding.

Orang-orang ‘otai’ sepatutnya sudah melabuhkan tirai mereka dan membenarkan orang muda memegang teraju utama UMNO.

Ayuh UMNO! Tiada lagi istilah orang lama diangkat kononnya untuk menyelamatkan UMNO itu sendiri. Walhal, angin perubahan itu sebenarnya ditiup oleh anak muda Malaysia, bukan pemimpin kitar semula seperti orang sama yang kalah dalam PRU-14.

Pokok pangkalnya, kini adalah zaman anak muda yang berusia 21 hingga 39 tahun. Biarlah mereka yang menentukan hala tuju parti.

Orang lama dalam UMNO seharusnya melepaskan baton kepada orang muda seberapa segera, barulah parti akan sentiasa mempunyai idea-idea segar, bernas lagi mantap sepanjang masa.

Segala pandangan ini bukan sahaja untuk UMNO, bahkan boleh dijadikan teladan kepada semua parti politik di Malaysia agar sama-sama dapat membantu membentuk sebuah negara Malaysia baharu yang tercinta.

 

PENDUDUK KAMPUNG BELIMBING

Tanah Merah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN