ALOR SETAR 16 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO negeri meminta ahli parti membuat penilaian di luar kotak pada pemilihan akan datang.
Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, senario penawaran diri beberapa muka baharu untuk merebut jawatan kepimpinan tertinggi parti merupakan sesuatu yang amat positif dan perlu dialu-alukan.
Bagaimanapun, katanya, Pemuda UMNO negeri memohon supaya ahli parti jangan tenggelam dalam keghairahan budaya ingin tukar tanpa memberi pertimbangan dan justifikasi rasional.
“Ahli UMNO perlu faham bahawa ketika ini, parti memerlukan proses pemulihan segera dan menyeluruh. Pada masa sama, perlu mampu menjana kerjasama strategik untuk menjadi ‘king maker’ ataupun pembangkang yang berwibawa.
“Oleh itu, kriteria pemilihan kepimpinan UMNO dalam pemilihan yang akan datang harus bertepatan bukan berlandaskan umur dan nostalgia semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy memberitahu, pihaknya juga mengalu-alukan semua jawatan dalam UMNO dipertandingan termasuk Presiden.
“Pemuda UMNO Kedah juga mengalu-alukan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden seperti yang diumumkan tadi.
“Namun perlu diingat adalah matlamat dan keadaan parti ketika ini yang memerlukan perubahan struktur dan imej merupakan satu tugas yg cukup berat dan merumitkan.
“Pemuda UMNO Kedah yakin ahli parti bijak untuk membuat pilihan. Jangan kerana keghairahan menukar bakal merencatkan proses pemulihan parti,” ujarnya.
Tambahnya, Pemuda UMNO negeri tidak kisah siapa pun yang bakal dipilih asalkan pemimpin tersebut berupaya memulihkan parti, menyatukan kembali jentera di semua perimgkat dan pada masa sama, mampu mencerminkan transformasi politik sebenar untuk tatapan rakyat.-UTUSAN ONLINE










