KUALA LUMPUR 1 Jun – Kementerian Pengangkutan akan membawa perkara berkenaan pemberian pas pengangkutan awam tanpa had bernilai RM100 seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan ke mesyuarat Kabinet untuk diteliti semula.
![]() |
|
ANTHONY LOKE
|
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemberian pas pengangkutan awam tersebut perlu dikaji dan diperhalusi kerana akan menyebabkan implikasi kewangan yang cukup besar kepada kerajaan iaitu dalam bentuk subsidi.
“Mekanisme mengenainya telah dicadangkan kepada saya tetapi ada implikasi kewangan yang besar. Maka keputusan bagaimana atau bila kita boleh laksanakannya saya perlu bawa ke mesyuarat Kabinet untuk putuskan.
“Apa-apa program yang boleh membawa implikasi kewangan kepada kerajaan ini perlu diluluskan oleh Kabinet dan Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat SPAD di sini hari ini.
Dalam pada itu, tambahnya, anggaran subsidi yang perlu diperuntukkan kerajaan untuk tersebut akan diumumkan kelak tetapi jelas memerlukan jumlah kewangan yang besar.
“Sebelum ini, Pakatan Harapan ketika merangka manifesto tersebut tidak dapat memberikan anggaran perangkaan jumlah subsidi yang perlu diperuntukkan kerana tidak mempunyai capaian mengenai maklumat berkaitan.
“Namun kini selepas berjaya membentuk kerajaan, kami mendapati pelaksanaan pas pengangkutan awam tanpa had bernilai RM100 itu bakal menyebabkan implikasi kewangan yang besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE











