Peluang kenali rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

Peluang kenali rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN peristiwa tersebut sudah hampir dua dekad, namun ia masih kekal dalam memori Almujtaba Osama Ali, 26. Insiden seorang lelaki tua yang meminta sedekah dan ditolak sehingga jatuh tersungkur cukup mengguris hati kecilnya. Rasa belas yang menebal dalam dada membuatkan Almujtaba Osama berlari sepantas kilat semata-mata mahu membantu lelaki tersebut.

Bekal rotinya yang masih bersisa dihulurkan kepada lelaki berkenaan.

Sejak itu, anak kelahiran Juba, Sudan Selatan berkenaan bertekad untuk keluar dari kepompong kemiskinan bagi membela nasib mereka yang kurang bernasib baik.

Peristiwa tersebut benar-benar berbekas di hatinya. Atas alasan itulah kerja-kerja kesukarelawan begitu dekat dengan diri Almujtaba Osama. Hari ini, meskipun jauh merantau di bumi Malaysia, Almujtaba Osama tidak melepaskan peluang untuk terus menyumbang khidmat baktinya kepada masyarakat.

Penuntut Ijazah Sarjana Kejuruteraan, Universiti Malaya itu adalah antara 150 sukarelawan yang terlibat dalam program Iftar@Kuala Lumpur di Dataran Merdeka baru-baru ini.

“Perbezaan warna kulit, bangsa atau agama bukan penghalang untuk seseorang melakukan kebaikan walau di mana jua mereka berada.

“Apabila mengetahui mengenai program ini daripada seorang rakan bulan lalu, saya segera membuat permohonan untuk menjadi sukarelawan,” katanya yang ditemui Kosmo! di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Program yang telah masuk tahun ketujuh itu adalah anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pelbagai agensi lain bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan.

Pelbagai pengisian aktiviti dijalankan termasuk penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, bicara Ramadan, tadarus al-Quran, klinik tahsin al-Quran, majlis berbuka puasa, solat berjemaah serta tazkirah Ramadan.

Kosmo! yang berkesempatan meninjau Iftar@Kuala Lumpur dapat melihat kemeriahan suasana di Dataran Merdeka dengan ribuan pengunjung mengambil peluang untuk berbuka puasa bersama keluarga dan sahabat handai.

Malah, para sukarelawan yang terdiri daripada rakyat pelbagai negara seperti Sudan, Pakistan, Amerika Syarikat, Britain dan Korea Selatan itu begitu tekun membuat persiapan termasuk penyediaan makanan serta tempat bagi memastikan program berjalan dengan jayanya.

Mereka terdiri daripada pelbagai peringkat umur yang secara sukarela berdaftar dengan penganjur sejak sebulan yang lalu.

Begitu juga dengan Almujtaba Osama dilihat tidak kekok bekerjasama dengan rakan-rakan sukarelawan yang terdiri daripada warga tempatan.

Kerinduan

Mereka sama-sama mengusung bakul dan mengagihkan kira-kira 5,000 bubur lambuk kepada orang ramai yang lalu-lalang di sekitar Dataran Merdeka.

Mengimbau pengalaman sepanjang terlibat sebagai sukarelawan di Iftar@Kuala Lumpur, pemuda tinggi lampai itu cukup tersentuh melihat sekumpulan gelandangan yang datang mengerumuni ketika dia mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.

Anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu, ada yang datang bersama keluarga dan mempunyai ramai anak kecil.

Dia cuba untuk memberikan kata-kata semangat tetapi halangan bahasa membuatkan mereka sukar memahami niat murninya itu.

Bagi Almujtaba Osama, bahasa menjadi cabaran utama untuknya berkomunikasi dengan masyarakat namun dia tidak sesekali menjadikan itu sebagai alasan meneruskan khidmat.

Usai mengagihkan bubur lambuk, Almujtaba Osama kembali ke khemah utama sukarelawan untuk meneruskan kerja-kerja lain yang masih menanti.

Sambutan luar biasa Iftar@Kuala Lumpur ternyata telah mengubat kerinduan Almujtaba Osama terhadap suasana berbuka puasa di kampung halamannya di Sudan.

Menjelang waktu berbuka, umat Islam di republik itu akan bertumpu di luar rumah, depan masjid atau ruang kosong di jalan utama untuk berbuka puasa bersama-sama.

“Masing-masing akan membawa makanan dan minuman untuk dinikmati bersama jiran tetangga. Malah, kami akan mempelawa golongan kurang bernasib baik untuk berkongsi rezeki yang ada,” tuturnya.

Warga asing

Jauh di suatu sudut, kelihatan seorang lagi sukarelawan, Jahangir Khan, 27, tekun membentang tikar aneka warna menutupi jalan tar di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur sebagai persediaan untuk pengunjung datang berbuka puasa.

Penuntut Sarjana Kejuruteraan, Universiti Malaya itu sesekali menegur mesra pengunjung yang melalui kawasan tersebut.

Kemudian, dia mengambil satu per satu makanan yang siap dibungkus dan menyusunnya di atas hamparan tikar.

Anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, dia sudah biasa melakukan kerja-kerja sedemikian di negaranya Pakistan.

“Di Pakistan, masing-masing berlumba-lumba menyediakan juadah berbuka puasa di masjid.

“Kami akan bergotong-royong menghidangkan makanan dan mengemas kembali setelah selesai solat Maghrib. Ia tidak jauh berbeza dengan keadaan di sini,” ujarnya sambil mengelap keringat yang membasahi wajahnya.

Jahangir memberitahu, dia mengambil peluang untuk mengenali rakyat Malaysia dengan lebih dekat lagi menerusi program Iftar@Kuala Lumpur.

Cerita pemuda bertubuh sasa itu, walaupun baru pertama kali terlibat dalam program berkenaan tetapi rakan-rakan sukarelawan yang lain menerima kehadirannya dengan berlapang dada.

Malah, dia gembira kerana mereka memberikan tunjuk ajar padanya sekali gus membolehkannya menimba pengalaman berharga.

“Saya juga berkesempatan berbual mesra dengan pengunjung yang datang. Ia sesuatu yang unik dan jarang dilihat.

“Mereka melayan saya dengan ramah dan tersenyum gembira. Saya mendapat ramai rakan baharu di sini,” ungkapnya.

Pelajar semester akhir itu memasang impian untuk terlibat pada tahun-tahun akan datang sekiranya berpeluang kembali ke Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Iftar@Kuala Lumpur, Rosnan Nordin berkata, program berkenaan telah menarik kehadiran warga asing untuk terlibat sebagai sukarelawan sejak ia dilaksanakan enam tahun lalu.

“Program ini sudah menjadi ikonik di Kuala Lumpur dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Saban tahun kita menyaksikan bukan sahaja pengunjung tetapi sukarelawan pelbagai negara yang turut serta.

“Mereka mendaftar secara sukarela untuk menghulurkan khidmat disebabkan tertarik dengan budaya berbuka puasa secara beramai-ramai,” katanya.

Rosnan berkata, pihaknya telah berusaha melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk penyediaan surau kontena bergerak, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma, kaunter pembayaran saman serta pendermaan organ untuk memudahkan pengunjung.

“Satu kelainan dalam Iftar@Kuala Lumpur yang diketengahkan ialah penganjuran Malam Tujuh Likur dengan menyediakan pelita gergasi bagi menerangi Dataran Merdeka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN