KUALA LUMPUR 25 Jun – Peguam utama Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Tun Dr. Mahathir Mohamad belum mendapat arahan sama ada Perdana Menteri masih mahu meneruskan usaha mencabar hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga mata wang asing (forex) berjumlah RM31.5 bilion atau sebaliknya.
Perkara tersebut dimaklumkan kepada pemberita oleh peguam Mohd. Irzan Iswatt Mohd. Noor yang turut mewakili Dr. Mahathir selepas menghadiri pengurusan kes saman pemula itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Azizah Nawawi sehubungan itu menetapkan 28 Ogos ini bagi pendengaran permohonan bantahan awal Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan saman pemula Dr. Mahathir.
“Sekiranya arahan, saman pemula itu ditarik balik maka pihak kami akan maklumkan pada tarikh tersebut. Jika arahan, diteruskan, kami akan teruskan kerana hujahan telah difailkan,” ujar Mohd. Irzan Iswatt.
Dr. Mahathir mengemukakan saman pemula itu pada 9 Ogos tahun lalu untuk membatalkan keputusan RCI yang dibuat pada 8 Ogos tahun sama bagi membatalkan pelantikan Pengerusi, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan seorang daripada anggota suruhanjaya siasatan itu, Tan Sri Saw Choo Boon sebagai anggota suruhanjaya itu.
Hakim Azizah pada 17 Ogos 2017 bagaimanapun menolak permohonan Dr. Mahathir untuk membatalkan keputusan RCI yang menolak permohonan beliau untuk membatalkan pelantikan dua anggota suruhanjaya berkenaan selepas berpendapat bahawa keputusan itu adalah betul.
Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob hadir mewakili Mohd. Sidek, anggota-anggota RCI – Datuk Kamaludin Md. Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Boon, K. Pushpanathanan, Datuk Dr. Yusof Ismail, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, anggota Kabinet dan kerajaan yang dinamakan sebagai pihak defendan. – UTUSAN ONLINE











